Fadillah Yusof

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan digesa memberi penekanan semula Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) agar pemain-pemain industri dalam sektor agrikomoditi dapat bersaing dengan produk import.

Itu antara hasil dialog 250 pemain industri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof yang diadakan petang tadi.

Jelas Fadillah, input yang dikumpulkan hari ini akan menjadi antara intipati dalam melaksanakan semakan semula kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Kalau negara-negara lain nak eksport ada sekatan dan halangan yang diperkenalkan tapi di Malaysia kita tidak perkenalkan, banyak perkara yang bebas masuk ke negara kita dan pemain industri memohon supaya kerajaan boleh berikan penekanan kepada konsep Beli Barangan Malaysia dapat diberikan tekanan balik.

“Bagaimana kita dapat melihat supaya produk-produk negara kita diberikan keutamaan dalam negara kita sendiri, ini sebahagian daripada input oleh pemain industri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi dialog Menteri Perladangan dan Komoditi dengan pemain industri, petang tadi.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, input yang diberikan pihak industri pada hari ini amat penting supaya kementerian dapat menyusun dasar dan strategi berdasarkan keberkesanan dasar sedia ada.

“Adakah kita perlu membuat dasar baharu atau merubah dari segi strategi yang sudah diatur dalam RMK-12 yang berhubung kait kementerian ini dan boleh kita tingkatkan pencapaian agrikomoditi negara

 “Sektor ini antara penyumbang besar kepada pendapatan negara terutama menerusi industri kelapa sawit, kayu kayan getah dan sektor lain yang menunjukkan peningkatan termasuk kenaf, koko, dan lada.

“Apa pun yang kita nak laksanakan kita kena melihat keseluruhan apa yang dicapai dan mengenal pasti kelemahan dan bagaimana meningkatkannya,” katanya.

Untuk rekod, KBBM diteruskan tahun lalu bagi mengambil kira hasil kajian impak keberkesanan kempen ini yang dimulakan sejak 1984.

Ia diteruskan bertujuan untuk mencapai objektifnya iaitu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast