SEREMBAN – Kilang baharu milik Mahsuri Food Sdn Bhd yang bakal siap dibina pada 2025 akan menyumbang kepada pembangunan prasarana pengeluaran produk halal di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apabila ia dibuka kelak, kilang itu juga akan menyumbang kepada usaha mewujudkan rangkaian pemasaran dalam dan luar negara serta pembangunan sosiekonomi.
“Saya amat berbangga dengan pelaburan Mahsuri Food yang bernilai lebih RM250 juta telah memilih Malaysia khususnya Negeri Sembilan sebagai pusat pengilangan sos makanan dan seterusnya mewujudkan satu ekosistem baharu dalam industri yang berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Bandar Teknologi 2, Bandar Baru Enstek, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd Roslan Mahayudin.
Aminuddin turut difahamkan bahawa Mahsuri Food menawarkan teknologi baharu berteraskan automasi bagi setiap peringkat pengilangan.
Menurut beliau, pengoperasian berteknologi tinggi itu secara langsung mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kumpulan profesional dan pekerja berkemahiran tinggi kepada anak tempatan menjelang 2025.
“Ini merupakan satu usaha yang baik ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh tidak mahir serta penggunaan buruh asing,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Aminuddin menyarankan supaya Mahsuri Food segera memberi perhatian terhadap pensijilan halal bagi setiap penemuan kajian dan penyelidikan (R&D) serta perubahan resipi dan cita rasa baharu sebelum dipasarkan.
Beliau juga berharap, produk jenama Mahsuri akan terus berkembang dan berada di antara salah satu produk yang disenaraikan dalam posisi 10 jenama halal teratas dunia pada masa akan datang. – MalaysiaGazette