Mohamad Kamal Mohamed

KUALA LUMPUR – Khairul Aming menerima ‘teguran’ daripada Dewan Pemuda Pas Kelantan selepas personaliti media sosial dan usahawan terkenal itu berkongsi kejayaan membeli tiket ke konsert kumpulan muzik terkemuka dunia Coldplay.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, beliau berasa sangat sedih dan terguris apabila membaca hantaran Twitter Khairul Aming menempah tiket konsert berkenaan.

Mohamad Kamal berkata, Khairul Aming tidak seharusnya berbuat demikian kerana mendakwa kumpulan muzik tersebut terpalit gaya hidup golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Saya layangkan surat ini sebagai seorang saudara seagama, apa lagi kita lahir di negeri yang sama. Atas semangat itu saya merasa terpanggil untuk memberikan teguran atas posting saudara yang berjaya membeli tiket Coldplay.

“Pada saya seorang public figure yang bersih seperti saudara tidak seharusnya secara tidak langsung mempromosikan konsert dari artis yang lantang mempromosikan LGBT.

“Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca posting Twitter saudara yang bersungguh menempah tiket,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Menggunakan alasan ‘saudara seagama’ Mohamad Kamal mengajak Khairul Aming untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang didakwa akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti.

“Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?

“Saya percaya di usia sekarang saudara telah matang dalam membuat pertimbangan. Apa lagi ingin saya katakan saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda.

“Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara,” kata beliau.

Khairul Aming membuat perkongsian tips membeli tiket Coldplay pada 16 Mei lalu.

Menurut usahawan yang berjaya itu terdapat cara tertentu untuk peminat Coldplay membeli tiket yang terjual bagaikan pisang goreng panas.

Khairul Aming berkata, beliau berjaya membeli empat tiket di bahagian ‘standing’ bernilai RM658 setiap satu. – MalaysiaGazette