Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan kuasa pengelolaan isu badal (upah) haji di negara ini.

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya belum mempunyai maklumat terperinci berkaitan isu tersebut dan pertemuan bersama TH dijangka diadakan hari ini.

“Saya kena terus terang bahawa kita belum ada maklumat terperinci berkenaan badal haji ini, saya perlu berbincang dengan TH dahulu sebab ada kekeliruan. Sama ada badal haji ini jatuh di bawah bidang kuasa TH atau Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kita perlukan dapatkan maklumat terperinci. Kalau dikatakan isu badal haji memang betul jatuh di bawah bidang kuasa TH, sudah tentu ia menjadi tanggungjawab TH untuk kawalselia betul melibatkan garis panduan semua.

“Kadang-kadang harga badal haji yang ditawarkan itu rendah sangat dan kita tidak tahu sama ada sampai ke tidak. Jadi kita tidak mahu berlaku unsur-unsur penipuan, itu yang penting,” katanya pada pemberita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pengamal media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Media di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2023.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Majlis Sambutan Aidilfitri bersama media, di sini hari ini.

Mohd Na’im memaklumkan beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (TH), Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Ditanya sama ada beliau sedar atau tidak tentang tawaran pakej badal haji yang murah, beliau yang baru memegang jawatan itu selama enam bulan berkata, secara peribadi menyedari tentang isu tersebut.

“Terima laporan? Secara peribadi, saya tidak ada terima sebab masih belum dapat dipastikan perkara ini di bawah bidang kuasa sama.

“Sebaik pertemuan dan perbincangan saya selesai, saya akan membuat kenyataan berhubung isu tersebut. Insyallah minggu depan nanti akan diumumkan,” jelasnya.

Namun, Mohd Na’im berkata, umat Islam di negara ini perlu berhati-hati dengan sebarang tawaran badal haji jika harga yang ditawarkan terlalu rendah bagi mengelak ditipu.

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menasihati rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang tumbuh bak cendawan.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, terdapat lambakan iklan badal haji di media sosial yang menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang

Untuk maklumkan pihak Kementerian Haji Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819) hingga SAR 11,841 (RM14,323).

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepada rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawarkan mereka. – MalaysiaGazette

Hati-hati dengan lambakan badal haji murah – MATA