pemberian kebebasan media pertumbuhan ekonomi IPA
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif yang antara lain akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan daripada segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap da teratur.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, ia juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.

“Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar mengulas mengenai mesyuarat MPN Bil 1/2023 yang dipengerusikan beliau hari ini dan ia diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Beliau menambah, dalam usaha menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa.

Menurut beliau, sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

“Pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudah cara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.

“Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula lanskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur,” jelasnya.

Anwar berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuainya sendiri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut beliau, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi suku pertama 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette