KUALA LUMPUR – Industri pembuatan negara beroperasi pada kapasiti penggunaan 79.6 peratus pada suku pertama 2023.
Jabatan Perangkaan berkata, statistik kapasiti penggunaan industri pembuatan merupakan indikator baharu dikeluarkan olehnya yang memberikan pengguna sisi lain dalam menilai prestasi sektor pembuatan di Malaysia.
Kapasiti penggunaan merujuk kepada nisbah output sebenar yang dihasilkan berbanding pengeluaran output pada kapasiti penuh melalui gabungan optimum mesin, bahan mentah dan buruh.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kapasiti penggunaan industri pembuatan bagi tahun 2015 hingga 2022 berada dalam julat 69.8 peratus hingga 80.4 peratus.
‘
Kadar penggunaan terendah bagi industri pembuatan pada tahun 2020 (69.8%) berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19, yang menyebabkan ekonomi negara terhenti seketika pada tahun tersebut.
Sementara itu, kadar penggunaan yang tinggi melebihi 80.0 peratus telah dicapai pada tahun 2015, 2016 dan 2022 masing-masing dengan kadar 80.1 peratus, 80.2 peratus dan 80.4 peratus.
Pada suku pertama tahun 2023, industri pembuatan beroperasi dengan kapasiti penggunaan 79.6 peratus, berkurang sebanyak 1.5 mata peratus berbanding tahun lalu (ST1 2022: 81.1%).
Kemerosotan ini dipengaruhi terutamanya oleh penurunan dalam hampir semua subsektor kecuali kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain berbanding dengan suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan terus menurun bagi dua suku tahun berturut-turut dengan negatif 0.6 mata peratus (ST4 2022: 80.2%; -1.1 mata peratus).
Sejajar dengan itu, kadar kapasiti penggunaan bulanan bagi industri pembuatan meningkat pada Mac 2023 mencapai 80.6 peratus selepas dua bulan beroperasi dengan kapasiti di bawah 80.0 peratus iaitu 79.2 peratus (Januari 2023) dan 79.1 peratus (Februari 2023).
Sebaliknya, kadar kapasiti penggunaan adalah lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya (Januari 2022: 81.3%; Februari 2022: 80.2%; Mac 2022: 81.7%) kerana permintaan yang rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi; dan pembaikan dan penyelenggaraan mesin & peralatan.
“Kadar kapasiti penggunaan tertinggi pada suku pertama 2023 dicatatkan oleh subsektor kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain dengan 84.0 peratus yang meningkat sebanyak 3.0 mata peratus
tahun ke tahun; dan diikuti oleh pembuatan petroleum, kimia, getah dan plastik (80.8%; -1.8 mata peratus).
“Sementara itu, kadar penggunaan bagi subsektor lain di bawah 80.0 peratus dengan kadar terendah dicatatkan oleh subsektor tekstil, pakaian, kulit dan kasut pada 74.5 peratus. Kadar penggunaan untuk subsektor ini menurun sebanyak 6.4 mata peratus berbanding 80.9 peratus yang direkodkan pada suku pertama 2022.
“Berbanding dengan suku tahun sebelumnya, subsektor Kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 mata peratus dan 0.2 mata peratus manakala subsektor lain merekodkan penurunan,” katanya.
Industri berorientasikan domestik mencatatkan kadar kapasiti penggunaan sebanyak 80.5 peratus pada suku pertama 2023, meningkat sedikit dengan 0.04 mata peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.
Tiga kenaikan tertinggi direkodkan oleh industri pembuatan produk farmaseutikal asas, kimia perubatan dan botani (82.8%; +6.1 mata peratus); pembuatan produk prosesan makanan (83.8%; +4.7 mata peratus); dan pembuatan lain (80.6%; +4.7 mata peratus).
Sebaliknya pula, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menurun sebanyak 2.0 mata peratus tahun ke tahun kepada 79.3 peratus pada suku tahun ini.
Walaupun kebanyakan industri dalam segmen ini mencatatkan penurunan dalam kadar penggunaan, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 mata peratus untuk mencapai 65.9 peratus.
Selain itu, pembuatan pakaian (73.7%; +0.4 mata peratus) dan pembuatan produk plastik (80.4%; +0.4 mata peratus) turut mengalami sedikit peningkatan.
Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku pertama 2023, industri pembuatan di enam negeri beroperasi pada kapasiti melebihi 80.0 peratus.
Negeri-negeri tersebut ialah Labuan (93.3%), Kedah (83.8%), Sarawak (81.6%), Melaka (81.4%), Negeri Sembilan (81.1%) dan Johor (80.4%).
Selangor yang merupakan penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Malaysia merekodkan kadar penggunaan sebanyak 79.5 peratus pada suku tahun ini.
Sementara itu, kapasiti penggunaan di lain-lain negeri adalah di bawah kadar nasional iaitu di antara 65.8 peratus hingga 78.8 peratus. – MalaysiaGazette