Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan Malaysiagazette, Kumara Sabapatty pada Majlis Hi-Tea Polis Diraja Malaysia PDRM Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Panik bukan pukau!

Itu kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sany Abdullah Sany mengenai kes jenayah komersial yang dilihat masih berleluasa di negara ini.

Beliau mungkin merujuk kepada sesetengah kes di mana mangsa mengadu seolah-olah dipukau ketika menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bermah mesra bersama pengamal media pada Majlis Hi-Tea Polis Diraja Malaysia PDRM Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 MEI 2023.

Acryl Sany mengakui penipuan dalam talian masih tinggi walaupun pelbagai usaha dan dijalankan pihaknya menangani masalah berkenaan.

“Macam-macam kita dah nasihat sampai dah tiada ayat,” katanya semasa berucap pada Majlis Hi Tea bersama media di Bukit Aman semalam.

Beliau mengulangi nasihat kepada orang ramai yang pihak berkuasa tidak akan mengenakan tindakan hanya melalui panggilan telefon.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 71,833 kes jenayah komersial yang disiasat membabitkan jumlah kerugian lebih RM5.2 bilion sepanjang 2022 hingga Mei lalu.

Sebanyak 48,850 kes atau 68 peratus daripada jumlah terbabit adalah jenayah komersial yang membabitkan penipuan dalam talian.

Dalam pada itu, Acryl Sany memaklumkan PDRM akan akan lebih banyak melakukan interaksi dengan wakil media selepas ini.

Mengakui beliau pernah mengurangkan interaksi dengan media kerana ada kenyataannya dimanipulasi sebelum ini tetapi kini pihaknya akan mengamalkan sikap terbuka.

“Siapa yang kenal saya sebelum ini, baik sebagai pengarah, ketua polis negeri dahulu, saya jawab pertanyaan media,” katanya.

Beliau mengakui kadangkala media memerlukan sidang media yang membolehkan ada soal jawab berbanding hanya kenyataan yang bersifat komunikasi sehala sahaja.

Makan nasi tidak enak jika dengan satu lauk sahaja, akuinya.

Now i’m back!” katanya meniru ayat pelakon Arnold Schwarzenegger dalam filem Terminator.

Terdahulu PDRM juga, katanya, memberi fokus dengan menubuhkan Pasukan Khas 3R khusus untuk menangani isu berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, agama dan bangsa yang boleh mengganggu-gugat keharmonian serta perpaduan di Malaysia.

Penubuhan pasukan khas di bawah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu atas inisiatif Acryl Sani sendiri. – MalaysiaGazette