Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka hari ini atas tiga pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki, sejak dua bulan lalu.

ALOR GAJAH – Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah di sini hari ini atas tiga lagi pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki, sejak dua bulan lalu.

Tertuduh, warga Singapura, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di bilik rumah guru di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak, Melaka pada pukul 3 petang, Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan di di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Tertuduh yang beristeri dua turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa sama di dalam bilik rumah guru di sebuah pusat tahfiz di Alor Gajah, Melaka pada pukul 1.30 pagi, 28 April lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili Peguam Faathir Imran Firdaus.

Hakim Nariman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Rabu lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas lima tuduhan lima pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail, tertuduh dibenarkan ikat jamin bagi empat pertuduhan namun Mohd Sabri tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan Seksyen 14(b) AKSTK 2017.

Ia selepas bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bahawa tertuduh penah didakwa atas kesalahan sama pada 2019 yang mana terdapat kecenderungannya untuk melakukan perbuatan sama jika dibenarkan ikat jamin.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengasas tahfiz terkenal di Melaka bersama adiknya yang juga warden pusat berkenaan ditahan selepas dipercayai terlibat melakukan jenayah seksual dan mendera enam pelajar lelakinya.

Kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa terhadap pengasas yang juga mudir pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019. – MalaysiaGazette.