REMBAU – Tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama Kristian adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 1986.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan yang turut diperkenankan Majlis Raja-Raja itu menetapkan kalimah Allah hanya boleh digunakan dalam kalangan umat Islam dan kitab-kitab agama berkenaan.
Namun beliau memberitahu, pada masa yang sama, kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak di mana orang bukan Islam di dua negeri berkenaan dibenarkan untuk menggunakan kalimah berkenaan.
“Itu soal Sarawak, keputusan Sarawak itu sudah dimuktamadkan sejak 1986. Kalau kita tahu sebagai kerajaan, tahu dah salah, macam mana kerajaan nak rayu?
“Tak boleh begini, maknanya kita mengaku kalah. Tidak, sebab keputusan tidak boleh menukar dasar ditetapkan,” katanya ketika berucap pada program lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Dato’ Haji Abu Hassan Sail, Pedas hari ini.
Beliau seterusnya menunaikan solat Jumaat di Masjid Dr Haji Muhammad Eusoff Teh di Pedas di sini selepas program lawatan tersebut.
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan kementeriannya menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.
Beliau menjelaskan, ini kerana keputusan mahkamah pada 10 Mac 2021 itu dibuat bukan bersandarkan sudut teologi atau pun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.
Tindakan kerajaan menarik balik rayuan tersebut dikritik pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang dan parti-parti politik yang bimbang tentang kesannya terhadap umat Islam di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan bersedia menerima teguran dan pandangan berhubung isu tersebut namun beliau mengingatkan mereka agar jangan memfitnah.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, mereka sepatutnya membuat kenyataan berlandaskan fakta iaitu keputusan kerajaan pada 1986 itu tidak berubah sehingga kini.
“Kalau nak perkemas beberapa isu supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah, kita akan usulkan beberapa cadangan perkemaskan keputusan itu.
“Maka Yang di-Pertuan Agong perkenan dan kita akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-Raja Melayu,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan Jill Ireland merupakan seorang wanita beragama Kristian dari Sarawak dan keputusan Jemaah Menteri pada 1986 terpakai terhadapnya.
“Kita nak bawa ke mahkamah, memang tahu tidak ada kes untuk menang, tidak cerdiklah namanya,” katanya berhubung cadangan pihak tertentu agar kerajaan meneruskan rayuan kes tersebut di mahkamah. – MalaysiaGazette
Buatlah RUU kata MP 2/3 PASTI MENYOKONG membuktikan PERPADUAN. atau takut kena boo oleh DAP dalam Dewan?
ZAHID HAMIDI tetap goodbye
Terimakasih peguam Haniff diatas penjelasan panjang lebar berkenaan isu.