SHAH ALAM – Tiada inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memperkenalkan Maktab Rendah Sainis MARA (MRSM) berbayar setakat ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wahdi Dusuki berkata, pihaknya tiada keputusan serius ke arah itu dan sedang fokus kepada menambah baik infrastruktur di bawah 55 MRSM di seluruh negara.
“Kita belum ada apa-apa inisiatif secara serius kerana isu utamanya adalah bagaimana kita nak menyantuni kehendak alumni Ansara (Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia) yang kini mencecah 220,000 dengan kebanyakannya adalah golongan T20 yang bersaing dengan B40 di peringkat MRSM.
“Mereka yang cadangkan dan kita di MARA akan sentiasa perhalusi cuma buat masa ini kita tangguh pembangunan baru MRSM.
“Kita fokus tambah baik infrastruktur di 55 MRSM sedia ada dan dua MRSM yang akan memulakan operasi tahun hadapan,” katanya kepada media selepas hadir program Hari Mara Bersama Rakyat dan Jelajah Pendidikan Luar Bandar di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu sebenarnya merupakan cetusan ahli-ahli Ansara yang mahu MARA membina sebuah MRSM berbayar untuk golongan yang berpendapatan tinggi (T20).
Bagaimanapun, beliau berkata, MARA ingin mengekalkan polisi iaitu seramai 60 peratus dalam kalangan B40 sekaligus memastikan golongan itu tidak terpisah dengan dunia realiti dan bergaul dalam ikalangan mereka dari kumpulan M40 dan T20.
Pada Mac lalu, Asyraf Wajdi mencetuskan idea agar MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp). – MalaysiaGazette