KUALA LUMPUR – Gerakan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjong Tokong, Pulau Pinang, Alex Low adalah ahli parti itu.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan, sebaliknya Alex merupakan penyokong Pakatan Harapan (PH) berdasarkan hantaran di akaun Facebooknya.
“Alex Low bukan ahli Gerakan Pulau Pinang, ini adalah fitnah DAP kerana kita telah pergi ke Facebook, dia penyokong Harapan, dia muat naik poster sokong Harapan dalam PRU15 lalu.
“Dia juga naikkan hantaran yang sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mana ada ahli Gerakan sokong PH dan Anwar Ibrahim.
“Ini memang satu fitnah besar daripada DAP yang mendakwa Alex ini ahli Gerakan,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini, sebuah video memaparkan sesi dialog antara pihak JMB Kondominium Tri Pinnacle di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa termasuk mengenai isu laungan azan tular di media sosial.
Malangnya isu itu dipolitikkan hingga ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan Alex dengan Gerakan Pulau Pinang.
Dominic tidak menolak kemungkinan dakwaan itu sebagai taktik kotor DAP untuk meraih sokongan rakyat Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Negeri bulan depan.
“Ya ini memang taktik fitnah DAP mengatakan Alex Low itu ahli Gerakan, dia bukan ahli kita. Ini taktik yang kotor DAP, ini dekat Pulau Pinang, kita sudah tahu bahawa PRN akan datang mereka tiada keyakinan lagi dalam PRN.
“Oleh itu, untuk mendapat menarik sokongan orang Melayu, mereka fitnah Gerakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette