ROMPIN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung di Lebuhraya Bahau–Keratong, Bandar 15 Melati di Rompin awal pagi hari ini
Dalam kejadian 3.20 pagi itu membabitkan mangsa, Muhammad Raziq Ramli dari Felda Keratong 6 yang meninggal dunia di lokasi nahas manakala tiga lagi iaitu pemandu serta dua penumpang lelaki termasuk seorang lagi kanak-kanak cedera.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, kesemua mangsa dilaporkan tidak tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan pihaknya.
“Komander operasi melaporkan kereta jenis Perodua Myvi terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam dua meter dan terdapat empat mangsa di dalamnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa yang meninggal dunia ke atas sebelum menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette