Polis giat memburu empat suspek lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau ditembak mati berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis giat memburu empat suspek lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau ditembak mati berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, terdapat empat suspek lelaki memakai topi keledar dan cermin gelap berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

“Usaha telah dipergiatkan untuk mengesan mereka ini dan masih dalam tindakan pihak polis. Polis juga masih sedang menyiasat motif kejadian tembak itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tembak itu sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 Mei lalu, mangsa dikena lpasti sebagai lelaki warga tempatan berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepalanya.

Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang ke lokasi memeriksa dan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan kepala.

Pemeriksaan pasukan forensik polis Kontinjen Selangor di lokasi kejadian itu telah menemui lima kelongsong peluru.

Siasatan awal polis juga mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai 13 rekod lampau pelbagai kesalahan .

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil segera menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 sebagai membantu siasatan. – MalaysiaGazette