Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) terus aktif berjuang isu berkaitan tanah rizab Melayu yang dipindah milik kepada orang bukan Melayu di Perak.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya hadir ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) kerana mahu memahami fungsi jabatan berkenaan yang boleh menganalisa isu-isu melibatkan perundangan berkaitan tanah Persekutuan dan negeri.

“Ini bukan isu baru malah ianya cukup serius. Kita hendak tahu bagaimana perkara ini berlaku, rizab tanah Melayu ini dipindah milik kepada yang bukan Melayu. Kerana itu juga kita hadir sendiri supaya perkara ini dapat dipanjangkan ke peringkat lebih Tinggi seperti Majlis Tanah Negara.

“Melihat situasi ketika ini, kita tidak menolak ada kemungkinan berlakunya pemindahan tanah-tanah rizab Melayu yang dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan dikembalikan kepada status quo.

“Kita harap sangat pihak jabatan dapat memberi ulasan secara bertulis untuk kita bawa isu ini dan lihat apakah solusi yang dapat dicapai untuk mengembalikan semula tanah rizab Melayu itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

MHO bersama mangsa-mangsa yang membuat aduan kepada pertubuhan itu hadir bagi menyerahkan memorandum dan saranan mereka ke JKPTG, Wisma Sumber Asli semalam.

Sebelum ini, MHO tampil menyarankan Jabatan Audit Negara mengeluarkan laporan lebih konkrit dan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu (TRM) pada masa depan.

Ini juga merujuk kepada laporan Audit Negara 2019 (siri 2) Perak yang dikeluarkan Ketua Audit Negara menggambarkan wujud kelemahan pengendalian rekod atau daftar menyebabkan statistik TRM tidak memberi gambaran sebenar keluasan tanah di negeri berkenaan.

Kata MHO, pewartaan TRM juga mengambil masa lama untuk disempurnakan dan pengisytiharaannya juga tidak menepati syarat serta proses pemberian milikan didapati tidak diadakan secara teratur.

Pertubuhan itu juga menggesa Ketua Audit Negara supaya memberi syor dan saranan kepada Pendaftar Pejabat Negeri Perak supaya mengembalikan tanah rizab Melayu yang dipindah milik kepada orang bukan Melayu.

Kata Hishamuddin lagi, untuk makluman tanah berstatus rizab Melayu sudah semakin berkurangan ketika ini.

“MHO berharap dapat beri saranan dan ulasan berkesan berkaitan pengurusan tanah rizab Melayu di negeri Perak selain dapat menangani perkara ini memandangkan masalah tanah rizab semakin berkurangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette