Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Gerakan membidas cadangan kerajaan untuk mengenakan caj tarif elektrik dan menarik balik subsidi jika pengguna domestik menggunakan tenaga itu secara berlebihan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan, langkah itu tidak wajar dan menyerlahkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap bebanan yang ditanggung rakyat ketika berdepan musim cuaca panas.

“Sepatutnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mengumumkan pada waktu Malaysia tengah mengalami cuaca panas ketika ini.

“(Langkah) tidak sesuai kerana ketika cuaca sebegini memang penggunaan (elektrik) akan meningkat dan menjadi tinggi.

“Jagalah hati rakyat kerana kamu sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan campuran, rakyat yang pilih kamu, bukan TNB yang pilih kamu.

“Kita mesti mendengar denyut nadi rakyat, kena faham dan tahu apakah kesusahan rakyat, bukan suka-suka menaikkan tarif elektrik di negara ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, di sini sejak pukul 10 pagi tadi.

Isnin lalu, Perdana Menteri selepas mempengerusikan pasca mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Perdana Menteri memberitahu, ini bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.

Dalam pada itu, Dominic mengingatkan Anwar agar sentiasa membuat polisi yang mesra rakyat bukan membebankan.

“Buat apa kita nak buka penghawa dingin kerana cuaca panas, ini bukan kawalan rakyat, ini cuaca. Sebagai Perdana Menteri yang prihatin, jangan tarik balik (subsidi) elektrik kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast