JASIN – Perikatan Nasional (PN) bukan parti untuk mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mahu menyelamatkan diri atau mengharapkan jawatan.
Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, parti itu bagaimanapun mengalu-alukan wakil rakyat BN untuk menyertai mereka sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mahu membantu rakyat.
“Kita mahukan YB (Yang Berhormat) atau wakil rakyat yang betul-betul sincere (ikhlas) dengan PN, bukan sekadar nak cari tempat untuk menyelamatkan diri.
“Biasalah, bila buat barter trade (BN masuk PN) ini, mesti ada demand (dari YB). Itu nanti kita akan ada sesi perbincangan, jadi kita serah keputusan itu kepada pimpinan pusat untuk tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bistari malam tadi.
Hadir sama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Jasin merangkap Pesuruhjaya Pas Negeri, Zulkifli Ismail dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada BN, Datuk Muhammad Jailani Khamis turut hadir dan duduk semeja bersama Dr Mohd Yadzil di meja kenamaan bersama beberapa pemimpin lain.
Terdahulu, Yadzil yang juga ADUN Bemban diminta mengulas khabar angin mendakwa Jailani sedang melobi untuk menyertai PN dan adakah parti sedia menerima beliau yang mempunyai rekod lompat parti sebelum ini.
“Saya hanya orang (pemimpin) di bawah, jadi saya serah pada pimpinan pusat untuk menilai (tapi) kalau dia (Jailani) beri keuntungan pada PN terutamanya rakyat, saya rasa tiada masalah,” katanya.
Jailani yang juga bekas Exco Melaka ketika pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri sebelum ini tidak dicalonkan semula menjadi Exco selepas Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac lalu.
Sebelum ini, Jailani menyifatkan pelantikan Ab Rauf sebagai ketua menteri menggantikan Sulaiman adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.
Pada Mac 2020, Jailani antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.
Beliau sebelum ini adalah pemimpin daripada PKR daripada gabungan PH dan telah mengambil keputusan untuk keluar parti sebelum menyokong kerajaan campuran BN dan PN di Melaka.
Pada 2021, Jailani kembali menyertai UMNO selepas lima tahun meninggalkannya. – MalaysiaGazette