Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) negatif dan corot selepas pelbagai dakwaan skandal penyewelengan dana dikhaskan untuk komuniti tersebut.

Objektif penubuhan Mitra yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan nama asalnya Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) pada tahun 2013 itu sebenarnya untuk memperkasa sosio ekonomi kaum ini terutamanya golongan B40.

Bagaimanapun, pelbagai dakwaan mula didedahkan berhubung ketelusan dan bagaimana dana itu dibelanjakan setiap tahun malah pernah ada tangkapan dan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebelum ini.

Tetapi kini, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas, Datuk R Ramanan yang baharu sahaja dilantik dua bulan lepas berikrar untuk bukan memperkasakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sebaliknya juga berjanji hanya akan membawa cerita kejayaan untuk kaum ini.

Mitra juga seolah sudah berubah ‘wajah’ dan mula beroperasi seperti sebuah Kementerian yang menjaga hal ehwal masyarakat India ketika ini.

Ramanan pada hari pertama bertugas berkata, beliau tidak berminat untuk menuding jari dan mencari salah pihak yang menerajui unit itu sebelum ini sebaliknya akan menyerahkan kepada Jabatan Audit untuk melakukan audit serta mendedahkan hasil laporan itu kelak.

Kata Ramanan, sejak beliau dilantik, inisiatif pertama yang dilakukan olehnya dalam Mitra ialah melanjutkan tempoh permohonan pemohon geran unit itu bagi memastikan dana itu sampai kepada semua.

“Yang pernah ditolak, cuba lagi. Yang belum cuba memohon geran kewangan ini kerana was-was boleh mohon. Apa yang saya boleh cakap, sejak ianya dilanjutkan kita telah terima permohonan luar biasa.

“Pada saya, masyarakat memberi peluang kepada kepimpinan baharu ini. Kepercayaan mereka ini kita jangan sia-siakan langsung. Penjenamaan yang hendak kita buat ini adalah untuk transformasi masyarakat secara keseluruhan.

“Pengumuman-pengumuman Mitra sejak sebulan ini mendapat pelbagai reaksi positif malah tawaran itu mendapat sambutan hangat kerana permohonan itu sudah melebihi jumlah dana. Kita akan kaji semua permohonan agar tidak ada yang tertinggal. Pada saya ini satu permulaan yang bagus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas unit transformasi masyarakat India Malaysia Jabatan Perdana Menteri Bil.1/2023 di Kompleks D,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 19 APRIL 2023.

Selain daripada geran kewangan yang diperuntukkan, beberapa inisiatif baharu turut diumum Mitra termasuklah RM20 juta bagi Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda untuk pelajar India kategori B40 di universiti awam.

Program itu dikhaskan oleh Mitra untuk mahasiswa tahun kedua pengajian hingga tahun akhir pengajian yang akan menerima bantuan subsidi ‘one-off’ berjumlah RM2,000.

inisiatif lain adalah Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Jelas beliau, program itu bakal memanfaatkan 4,500 kanak-kanak India B40 dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM10.8 juta.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, pemberian bantuan subsidi berkenaan bagi mengurangkan isu keciciran dalam pendidikan awal dan masalah literasi serta numerasi kanak-kanak komuniti berkenaan.

Selain itu satu lagi ialah program Subsidi Bantuan Dialisis yang disasarkan kepada 900 pesakit kronik buah pinggang membabitkan masyarakat India kategori B40 dengan peruntukan berjumlah RM8.64 juta.

Para pesakit akan menerima bayaran subsidi sebanyak RM200 bagi satu sesi dialisis membabitkan bayaran empat kali sebulan atau seminggu sekali, selama setahun.

MalaysiaGazette juga difahamkan akan ada lebih banyak pengumuman dari masa ke semasa berkaitan inisiatif dan bantuan-bantuan lain untuk kaum India pada masa depan termasuklah penjelasan bagaimana dana RM100 juta dibelanjakan oleh unit tersebut. -MalaysiaGazette

Ramanan beri jaminan, tiada lagi penyelewengan dana MITRA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast