Anggota polis yang dilanggar oleh pemandu kenderaan akibat terbabas sendiri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans

KUANTAN – Gara-gara terlanggar lopak air, seorang pemandu telah merempuh dua anggota polis yang sedang bertugas ketika membuat kawalan lalulintas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada kejadian 6.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu itu memandu bersama tiga penumpang lain terbabas sendiri dan melanggar dua anggota EMPV Bukit Aman di Kilometer 234.7 hala ke timur.

”Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa berada di luar kenderaan membuat kawalan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas sendiri di lokasi tempat kejadian.

”Semasa mereka  membuat kawalan, tiba – tiba datang sebuah kenderaan dari arah sama, melanggar lopak air di lorong kanan lalu terbabas melanggar mangsa dan kenderaan polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zahari , anggota polis yang berusia 40 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan muka, manakala seorang lagi polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

”Mangsa telah dibawa oleh ambulans ke HTAA dan ditempatkan di zon merah untuk menerima rawatan lanjut.

”Keadaan mangsa stabil dan ujian sinar x (x-ray) mengesahkan kaki sebelah kanan patah dan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI)pada bahagian kepala pula akan dijalankan selepas tekanan darah stabil,” katanya.

Wan Zahari berkata kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast