SHAH ALAM – Tingkah laku sebahagian pemimpin pada hari ini berisiko mencetuskan pertelingkahan dan pergaduhan.

Malah menurut Menteri Besar Selangor Datuk Ser Amirudin Shari, ada pemimpin yang tidak menjaga kepentingan kemanusian sebaliknya menimbulkan ketidakharmonian sesama manusia.

Justeru, katanya, nilai-nilai kemanusiaan dalam kalangan pemimpin perlu sentiasa digarap menerusi program-program keagamaan.

“Selain jamuan ini kita juga menyusun program muzakarah ulama-umara kerana ingin menyuntik roh-roh semangat yang hilang dalam nilai dan ciri kepimpinan dalam negeri dan negara kita.

“Kita lihat, tanggungjawab dan tugas seorang pemimpin yang digariskan di dalam al-Quran yang dicontohkan Nabi Muhammad dan para sahabat baginda kepada kita selain daripada tanggungjawab memelihara agama, juga harus menjaga maslahah dan kehidupan kemanusiaan.

“Namun begitu realiti pada hari ini, kadang kala kita dapat lihat kepimpinan dalam nilai dan cirinya, perkataannya, perbuatannya, keputusannya menimbulkan peperangan, pertelingkahan, pergaduhan dan amat malang ada juga yang sudah mula mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga maslahah dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Jamuan Muhabbah Ulama-Umara.

Turut hadir Mantan Mufti Mesir Al-Imam al-Allamah Profesor Dr Ali Jum’ah yang sempat memberikan syarahan bertajuk ‘Hubungan Pemerintah dan Ulama’.

Jelas Amirudin, pemimpin perlu sentiasa berada di landasan yang betul dan sedar tentang tanggungjawab dam keutamaan menjaga kepentingan awam.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast