Datuk Armizan Mohd Ali

PAPAR – Kerajaan Sabah perlu membuat keputusan tegas dan holistik dalam menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu yang dilihat kritikal sejak kebelakangan ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, ini termasuk mengambil langkah membina empangan baharu bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen Papar beliau akan memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan membina empangan baharu di Papar.

“Kita terlalu membiarkan isu ini berlarutan sehingga menjadi kritikal dan sekiranya tidak diambil langkah penyelesaian maka ia akan menjadi krisis kepada Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Papar dan Dewan Undangan Negeri Kawang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Armizan berkata, sesi libat urus perlu dilaksanakan sekiranya terdapat isu berbangkit mengenai usaha membina empangan bagi memberi kefahaman penuh kepada penduduk di kawasan terbabit.

Beliau berkata, apa yang penting ialah kerajaan negeri memberi jaminan kepada penduduk terutama melibatkan aspek keselamatan, kesejahteraan dan sosioekonomi mereka, selain komitmen mewujudkan koperasi supaya penduduk dapat menikmati limpahan ekonomi daripada pembinaan empangan kelak.

“Kita sudah tidak ada pilihan. Empangan (baharu) perlu dibuat bagi menyelesaikan masalah air ini. Jika kita tidak tangani sekarang, saya fikir dalam tiga ke empat tahun mendatang, krisis ini akan lebih besar,” katanya.

Armizan juga khuatir sekiranya masalah air dan elektrik Sabah tidak diselesaikan segera, ia akan menjejaskan kemasukan pelabur ke Sabah

Justeru, semua pihak diharap menghentikan polemik berhubung isu air dihadapi Sabah ketika ini, sebaliknya bersama mengambil tanggungjawab untuk mencari kaedah penyelesaian komprehensif, katanya.  – BERNAMA