Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menandatangani plak pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa Langkawi sambil diperhatikan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya (kiri).

KUALA LUMPUR Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat penuh miliknya BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) akan membangunkan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di tanah seluas 16.9 ekar di Kuah dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM60.7 juta.

Pengerusi BDB, Sr Che Had Dhali berkata, projek berkenaan akan memfokuskan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah (DPrNK) yang akan dimulakan pada hujung tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Pembangunan Aman Nusa bakal menyaksikan pembinaan perancangan untuk membina 120 unit rumah teres 1 tingkat dan 27 unit kedai pejabat 2 tingkat yang terbuka kepada orang ramai
untuk memilikinya.

“Dalam pada itu, bagi pembinaan DPrNK pula, Kumpulan BDB akan membangunkan sebanyak 35 Unit Rumah Kasih Rakyat, 12 Unit Rumah Makmur Kedah Dan 9 Unit Rumah
Aman Kedah di dalam perancangan projek Aman Nusa ini.

“Kumpulan BDB sememangnya memahami kepada permintaan dan keperluan rakyat di negeri Kedah yang sememangnya memerlukan perumahan mampu milik dan diharapkan dengan
adanya Aman Nusa ini kelak, sedikit-sebanyak dapat membantu golongan B40 dan M40 di Langkawi khususnya untuk memiliki rumah mereka sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Hotel Adya, Kuah di sini hari ini.

Che Had turut menjelaskan, Aman Nusa merupakan projek terbaharu di Langkawi dalam mengembangkan portfolio pelaburan dan pembangunan Kumpulan BDB di pulau berkenaan.

Ujar beliau, pada 29 Mac lalu Kumpulan BDB menerusi BDB Infra Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn Bhd dan juga Gemi
Puncak Quarry Sdn Bhd, dan sekaligus menjadikan Kumpulan BDB sebagai pemilik kuari granit yang terbesar di Langkawi yang berkeluasan 64 ekar.

Katanya lagi, Kumpulan BDB telahpun memiliki Darulaman Sanctuary iaitu kawasan ekopelancongan di Lubuk Semilang seluas 226 ekar, Langkawi Art Box, The Langkawi Cultural Village iaitu pembangunan komersial seluas 4 ekar yang mempunyai 35 unit perniagaan di Padang Mat Sirat serta mempunyai bank tanah di Kuala Temoyong seluas 12.4 ekar.

“Bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA’23), Kumpulan BDB turut menawarkan platform BDB@Langkawi dengan dua tarikan utama iaitu The Airventure dan The LAB di mana The Airventure ini sangat unik kerana ia menyediakan ruang dan kemudahan untuk orang ramai menyaksikan pertunjukan udara dari jarak dekat dan jelas kerana lokasinya berhampiran dengan ‘air strip’ serta dilengkapi dengan ruang tinjau dengan kemudahan seperti calet dua tingkat, cabana, green box dan kawasan cocktail untuk orang awam.

“Sementara itu, The Lab pula akan memperkenalkan Food & Fun Garden yang mana membuka peluang dan ruang untuk peniaga tempatan memperkenalkan dan menjual produk dan perkhidmatan sewaktu LIMA’23 yang mana Kumpulan BDB menyediakan ruang parkir yang mencukupi serta gerai makanan dan ruang santai yang luas dan kemudahan lain seperti surau, tempat bersantai untuk menonton pameran udara dan tandas dengan dikelilingi kedai kabin kontena yang menarik.

“Dengan ini, Kumpulan BDB mengharapkan untuk terus dapat terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi sekaligus bukan sahaja dapat membangunkan pulau peranginan ini
tetapi juga Negeri Kedah secara amnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast