GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menafikan dakwaan bekalan gula di negeri ini putus sejak seminggu lalu.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, sebaliknya isu tiada bekalan gula serta berkurangan hanya membabitkan penjualan di kedai runcit.
“Gula ada di pasar raya jadi tidak timbul isu bekalan itu putus di negeri ini cuma di kedai runcit banyak yang sudah habis disebabkan urusan jual beli mereka dengan pengilang serta pemborong.
“Memandangkan bekalan gula terhad di seluruh negara jadi ada pemborong ada yang menetapkan penjualan secara tunai dan ia mengakibatkan setengah peruncit tidak dapat mengambil bekalan kerana isu pembayaran tunai itu.
“Jadi kita di KPDN tak masuk dalam isu pembayaran tunai antara peruncit dengan pemborong mahupun pengilang cuma apa yang boleh saya nyatakan bekalan gula di negeri ini tidak putus seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Jegan, orang ramai diminta tidak pm melakukan pembelian panik kerana bekalan mencukupi.
Sementara itu, tinjauan MalasyiaGazette mendapati masih ada bekalan gula di beberapa pasar raya di negeri namun penjualannya dihadkan.
Setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli empat paket gula satu kg pada satu masa manakala dua paket bagi setiap dua kg gula. – MalaysiaGazette