Pas Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mahu kerajaan mencari strategi bagi menangani pendekatan parti Islam itu sebagai lucu dan dangkal.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kenyataan tersebut cubaan untuk melemahkan parti berkenaan.

“Selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan Pas sebagai ‘kambing hitam’ atas kegagalan itu,”‘ katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau, kenyataan dan dasar yang bercelaru dan bercanggah membuktikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat dan tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan Pas atau kecenderungan orang Melayu menyokong Pas.

“Justeru, daripada menjadikan Pas ‘kambing hitam’ atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan
yang disertai partinya supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa,” tambahnya.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan perlu menggunakan strategi lain untuk mencabar pendekatan agama Pas yang memecahbelahkan rakyat.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Ramasamy sepatutnya mencontohi tindakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim (PH) yang dilihat konsisten mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan dalam banyak isu di Parlimen secara jujur.

“Barangkali Ramasamy harus mencontohi YB Pasir Gudang dan tidak bertindak menyorok sampah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Ramasamy prejudis kepada Melayu apabila seolah-olah menyatakan kesedaran beragama kaum tersebut sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat.

“Di sini jelas bahawa beliau tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.

“Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette