Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai dan menyokong Kerajaan Perpaduan tidak akan menyekat peluang pemimpin daripada parti itu untuk menjadi Perdana Menteri jika memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, walaupun parti itu kini menyokong Pakatan Harapan (PH) namun ia tidak menghalang UMNO kembali menguasai kerajaan jika sokongan Melayu pulih.

“(Tindakan) menyokong Kerajaan Perpaduan bukan bermakna kita tidak boleh menjadi Perdana Menteri. Kita tidak boleh jadi Perdana Menteri sekarang ini kerana kita kekurangan kerusi.

“Tapi kalau dalam masa lima tahun ini UMNO memperkasakan dirinya, dapat menawan kembali hati orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kita mendapat kerusi banyak walaupun ada kerajaan perpaduan.

“Akhirnya Perdana Menteri mesti datang daripada parti yang mempunyai kerusi yang banyak,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa akar umbi parti itu memberi undi kepada calon Kerajaan Perpaduan termasuk daripada DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga menepis dakwaan kononnya UMNO terpaksa tunduk kepada PH hingga melepaskan peluang untuk menguasai kerajaan termasuk menjadi Perdana Menteri.

“Bukan bermakna kita menyokong PH, UMNO tiada peluang untuk jadi Perdana Menteri atau menguasai kerajaan atau kita terpaksa akur kepada PH untuk menjadi Perdana Menteri sepanjang masa…tidak.

“Sama juga dengan parti-parti lain, UMNO mempunyai peluang yang sama dengan parti-parti lain untuk memegang jawatan Perdana Menteri.

“Pokoknya kita mesti menang banyak kerusi dalam pilihan raya, jadi kita ada lima tahun untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi UMNO memberikan undi kepada calon Kerajaan Perpaduan yang ditandingi PH dalam PRN akan datang.

“Bukan senang untuk meyakinkan akar umbi UMNO untuk mengundi selain daripada BN. Sebab itu kita perlu masa sedikit untuk menerangkan kepada rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan penyokong UMNO-BN

“Sebab itu konvensyen Kerajaan Perpaduan itu amat penting, tetapi tidak boleh berhenti di situ, mesti digerakkan di peringkat akar umbi.

“Kalau pemimpin dilihat dapat bersama-sama di atas pentas, tetapi di peringkat bawah penyokong masing-masing masih memikirkan tentang parti masing-masing, konsep ini tidak akan berjaya,” jelasnya.

Pemimpin dari Sabah itu turut mengakui UMNO masih berbaki kurang 30 hari untuk memastikan pendirian pucuk pimpinan dapat dipatuhi sepenuhnya di peringkat akar umbi dalam mendepani PRN.

“Memang singkat (masa), sebab itu kita kena cakap banyak kali bahawa ini adalah bukan sahaja pilihan yang terbaik untuk BN buat masa ini, untuk survival UMNO dan BN.

“Tetapi kalau eksperimen ini kalau berjaya saya rasa amat kritikal untuk pembangunan dan kemajuan negara kita,” katanya.

Ditanya tentang usaha UMNO untuk kembali menguasai kerajaan, Abdul Rahman berkata, parti itu perlu melakukan penambahbaikan untuk menawan semula hati dan keyakinan orang Melayu.

“Bagaimanapun, BN akan memperkasakan, konsepnya sudah diketahui ramai, apa yang penting memperbaiki di sana dan di sini.

“Insya-Allah kita ada lima tahun, apa pun keputusan PRN, paling penting ialah PRU16,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Abdul Rahman Dahlan pun nak bersembang angan-angan Wak Welanon? simpan sikit… harap dapat mengadap DAP dan Rafizi sebelum tunjuk MUKA kepada AWAM.. rakyat tidak memerlukan mereka lagi… KAU berdoalah jadi calon PRN… KELUARKAN DUIT banyak-banyak.
    goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.