KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berkuatkuasa selama tujuh hari masing-masing bermula pada 27 dan 29 Mei.
“Skim berkenaan berkuat kuasa selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum, semasa dan selepas perayaan.
“Tempoh pelaksanaan adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak lapan jenis barangan akan dikawal di bawah skim berkenaan selain enam barangan daripada kategori Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari tahun lalu.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran,” jelas Salahuddin.
Antara barangan harga terkawal di bawah SHMMP pesta Kaamatan adalah kepak ayam, cili kering leper, daging kerbau import, bawang kecil merah (India), bawang putih (China), babi hidup dan daging babi (perut, daging dan lemak).
Manakala bagi barangan yang tertakluk di bawah SHMMP Hari Gawai pula adalah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import (India), ubi kentang imort, babi hidup termasuk daging babi.
Terdahulu Salahuddin berkata, SHMPP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 202 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. – MalaysiaGazette