Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani baru-baru ini melibatkan kos sebanyak RM6.3 juta.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, rumah terbuka itu dikendalikan Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan hanya membabitkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai.

“Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah seramai 25,000 orang manakala di Kelantan dan Terengganu seramai 15,000 pengunjung di setiap negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan jumlah perbelanjaan keseluruhan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Jelas Armizan, rumah terbuka di Kedah adalah program peringkat kebangsaan dan ia turut membabitkan jemaah menteri, perwakilan asing serta ketua jabatan-jabatan kerajaan.

Katanya, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Kedah mencatatkan jumlah kos tertinggi RM3.1 juta manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing RM1.5 juta.

Armizan berkata, berbanding penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun lalu di Putrajaya, ia menelan belanja sebanyak RM11 juta dengan kehadiran seramai 70,000 orang.

“Pelaksanaan Rumah Terbuka Malaysia Madani ini membuka ruang yang lebih luas untuk membolehkan pemimpin kerajaan bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di pelbagai lokasi,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran pada kali ini juga mendapat kerjasama kementerian dan jabatan persekutuan termasuk kerajaan negeri yang membolehkan kosnya dapat dikurangkan terutama daripada segi sumber manusia serta keperluan logistik lain.

“Dalam masa yang sama, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani ini memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil tempatan untuk menjana ekonomi sebagai penyedia perkhidmatan dan makan minum sepanjang majlis berlangsung.

“Kesan ekonomi ini juga dapat dirasai oleh pengusaha hotel, pengangkutan dan peniaga lain yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette