KUALA LUMPUR – Amat tidak munasabah tuduhan bahawa ada pawagam mensabotaj filem ‘Anwar: The Untold Story’.
Bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, tidak ada mana-mana pemilik pawagam yang berani hendak menstabotaj filem biopik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Amat tidak munasabah pawagam berani sabotaj filem ‘Anwar: The Untold Story’ yang kini beliau adalah Perdana Menteri Malaysia.
“Siapa yang berani cuba hendak sabotaj filem ini kerana kerajaan masa kini dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang juga ditonjolkan sebagai watak ‘protagonis’ dalam naskah ‘Anwar: The Untold Story.’
“Ini merupakan alasan yang cukup dangkal dan bodoh daripada pihak produksi,” ciap beliau di Twitter.
Produksi filem Anwar: The Untold Story dilaporkan mendakwa sesetengah pawagam melakukan sabotaj terhadap tayangan filem yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu.
Pengerusi DMY Creation, Mohamed Yusoff berkata, meskipun filem berkenaan mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, namun jumlah tersebut masih tidak mencapai sasaran susulan ada pawagam enggan memberi lebih slot tayangan.
Khairuddin mendakwa filem tersebut tidak mendapat sambutan orang ramai kerana tidak menepati standard.
“Secara jujur dan ikhlas saya ingin nasihatkan pihak produksi agar jangan cuba hendak menyalahkan orang lain apabila sambutan filem ini ‘hambar’ tetapi terimalah hakikatnya bahawa naskah ini amat ‘haprak.’
“Ini adalah salah satu sebab utama kenapa filem ini tidak mendapat sambutan dari orang ramai.
“Sekiranya filem yang berteraskan propaganda keterlaluan ini diterbitkan pada tahun 60-an kemungkinan besar mendapat sambutan hangat kerana mentaliti rakyat masa itu amat berbeza dari sekarang,” kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi DMY Creation berkata, pasukan produksi membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton dan mendapati ada penonton tidak dapat menonton filem tersebut di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.
“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.
Katanya, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman dan tidak adil buat pembikin filem tempatan. – MalaysiaGazette