Gambar hiasan. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar gula di negara ini menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkenalkan gula premium yang akan dijual lebih mahal berbanding gula standard.

Sumber industri memberitahu, pengeluar-pengeluar sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan KPDN namun masih belum ada kata putus setakat ini kerana cadangan untuk mengeluarkan gula berkenaan ditolak banyak kali.

Namun, industri percaya kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya demi survival industri gula negara yang semakin teruk sekarang ini.

Katanya, pengeluar gula negara ini sebenarnya dalam keadaan ‘nazak’ kerana terpaksa menanggung kerugian yang disebabkan kawalan harga ke atas komoditi itu.

Pengeluar-pengeluar terpaksa berdepan dengan tekanan margin yang berpanjangan bagi harga kawalan segmen runcit domestik dan tanpa sebarang subsidi.

Sumber menambah, sepanjang 10 tahun yang lalu, pengeluar gula hanya dibenarkan menaikkan sebanyak satu sen sekilogram.

Sedangkan harga gula mentah dunia sudah meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan iklim.

“Kos bagi pengeluaran sekilogram gula yang ditanggung oleh pengeluar adalah sebanyak RM3.85 tetapi harga gula dibenarkan dijual sebanyak RM2.85.

“Kerugian RM1 ditanggung oleh pengeluar. Disebabkan ini pengeluar-pengeluar gula di negara ini boleh diumpamakan berada dalam “ICU’ (unit rawatan rapi). Nazak sangat dah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ditanya adakah gula premium itu akan dipasarkan pada bulan depan (Jun) berdasarkan spekulasi sebelum ini, sumber tersebut berkata: “Tidak. Spekulasi itu tidak betul”.

Tambahnya, selagi tidak mendapat kebenaran kerajaan, gula premium tidak boleh dijual.

Mengulas rasional pengeluaran gula premium itu, beliau berkata, gula berkenaan mempunyai kadar kelarutan, kemanisan, tekstur dan warna yang berbeza.

“Prosesnya lebih rumit, sebab itu ia premium,” tambahnya.

Difahamkan ukuran bagi gula standard ialah 45 icumsa (kadar standard keaslian gula dunia).

Kadar keaslian mempunyai pelbagai kategori iaitu 50 icumsa, 100 icumsa. Lagi tinggi kadar, lagi perang warna gula tersebut.

Sumber industri itu menambah, pengenalan gula premium itu hanya memberi nilai tambah kepada pengguna tertentu sahaja.

Ia tidak menjejaskan poket pengguna kerana gula pasir biasa masih dijual.

Malah, pengeluar-pengeluar makanan dan minuman juga tidak terjejas kerana mereka tidak perlu pun membeli gula premium untuk produk masing-masing. – MalaysiaGazette