IPOH – Tiga lelaki didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh di Stadium Perak pada Sabtu lepas.
Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman denda itu atau penjara tiga bulan jika denda gagal dibayar ke atas Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26, Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21, dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, selepas membuat pengakuan itu.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan pula diberikan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak dan mahkamah menetapkan 28 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kesalahan itu dilakukan di Stadium Perak di sini pada kira-kira 9.17 malam, Sabtu lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Robert S. Gnanarajan memohon remaja itu diberikan jaminan rendah dan ketiga-tiga lagi anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan mereka berpendapatan rendah dan kesemuanya memohon maaf serta telah insaf atas kesalahan itu selain pengakuan salah mereka menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon remaja itu diberikan jaminan RM5,000 manakala tiga lagi dikenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran dan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Pada Sabtu lepas, polis menahan keempat-empat lelaki itu dalam kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak.
Satu video kejadian turut tular di media sosial memaparkan berlakunya kekecohan tersebut namun keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.
Media melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC itu dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.- BERNAMA