Fenomena merokok di tempat awam terutamanya di kedai-kedai makan dikhuatiri sudah kembali seperti dulu terutama selepas pasca Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di tempat makan telah dikeluarkan tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah denda yang dikutip bagi tahun 2022 adalah bernilai RM7.6 juta

Katanya, bagi tahun ini sehingga April lalu sebanyak 14,872 notis kesalahan merokok di tempat makan dengan nilai RM3 .7 juta telah dikeluarkan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 12,773 bilangan operasi telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022 manakala bagi tahun 2023 sehingga April, bilangan operasi adalah sebanyak 5,028,” kata Zaliha dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar – MUDA) yang meminta kementerian menyatakan langkah-langkah penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan berikutan terdapat banyak aduan di media sosial tentang pelanggan yang merokok di kedai makan.

Tambah Dr Zaliha, KKM mengambil maklum dan memandang serius berkaitan isu aduan kesalahan merokok di tempat larangan terutama di premis makan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan menjadi tular di media-media sosial.

Langkah yang dijalankan oleh kementerian antaranya meningkatkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan larangan merokok dijalankan secara berkala di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di semua negeri.

Ia dilakukan oleh penguatkuasa daripada KKM yang terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

KKM juga menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sebanyak tiga operasi bersepadu telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang bulan Mei 2023 di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor serta akan diteruskan di negerinegeri lain.

Pihaknya juga ,engadakan aktiviti-aktiviti promosi dan advokasi untuk memastikan pematuhan kepada larangan merokok melalui aktiviti-aktiviti di lapangan bersama sukarelawan Rakan Nasihat Komuniti daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

KKM juga mengadakan pertemuan dengan wakil daripada persatuan-persatuan peniaga untuk berbincang dan mendapatkan kerjasama mereka bagi memastikan tempat makan bebas daripada amalan merokok.

Talian khas Hotline Aduan Merokok melalui aplikasi Whatsapp 010-860 8949 juga diwujudkan bagi memudahkan pelaporan daripada orang awam.

Talian aduan ini masih aktif menerima aduan daripada orang ramai dan aduan-aduan mereka telah dianalisa dan disalurkan ke Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

KKM juga menjalankan aktiviti advokasi bagi meningkatkan pematuhan orang ramai melalui hebahan berterusan aktiviti penguatkuasaan yang dilaksanakan menerusi pelbagai platform media KKM seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya.-MalaysiaGazette