KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman (RTA) bagi memberi perlindungan kepada penyewa dan pemilik kediaman akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan penggubalan RUU RTA telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun 2021 dan telah mendapat kelulusan prinsip untuk penggubalan.
Kementerian kini dalam proses menambah baik akta tersebut dengan mengambil kira maklum balas dan pandangan yang diterima agar kepentingan semua pihak terpelihara dan diberikan perhatian sewajarnya.
“RUU RTA ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2024 setelah sesi libat urus selesai dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Akta ini digubal bukanlah untuk mengawal kadar sewa atau kenaikan sewaan.
“Ia adalah bagi melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman, yang ketika ini hanya dilindungi melalui Akta Kontrak 1950 yang bersifat umum dan tidak komprehensif,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Shahrizukirnain Abd. Kadir (Setiu-PN) yang meminta kementerian menyatakan status terkini RUU RTA bagi mengawal harga rumah selain bagi menghalang pemilik kediaman menaikkan harga sewa atau mengusir para penyewa dengan sewenang-wenangnya.
Menurut Kor Ming, cadangan RTA mempunyai peruntukan untuk menghalang kenaikan sewa dalam tempoh sesuatu perjanjian dan memberi peluang kepada penyewa untuk membuat keputusan sama ada untuk memperbaharui perjanjian sewaan dengan kadar sewa yang baharu atau tidak.
Di samping itu, RTA turut menyediakan peruntukan untuk memastikan pemilik kediaman tidak akan mengambil milik premis sewaan tanpa mengikut proses perundangan.
Pemilik kediaman tidak mempunyai hak untuk mengusir penyewa tanpa memberikan notis yang sewajarnya kepada penyewa untuk memberhentikan pengingkaran atau membayar sewa yang tertunggak sebelum memohon perintah untuk mengambil
milik premis sewaan.
Walaupun hak mengusir telah diperuntukkan dalam perjanjian sewa yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak namun pemilik kediaman tidak boleh mengambil milik premis sewenang-wenangnya tanpa perintah.- MalaysiaGazette