KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Maligan Padas bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah dijangka beroperasi menjelang 2027.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, projek itu telah diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) pada 25 Ogos tahun lalu.
“Sekarang kerajaan kita sedang berbincang sebab kementerian ini mahu mengatasi ini masalah bekalan elektrik di Sabah dan Labuan
“Projek ini telah diluluskan dalam mesyuarat JPPPET Sabah pada 25 Ogos 2022 dan projek ini dijangka beroperasi pada 2027 jika siap,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mulut Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) yang bertanyakan status penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah dalam proses pengambilalihan kawal selia bekalan elektrik di Sabah.
Takiyuddin juga bertanyakan status pembinaan dan pembangunan Empangan Hidroelektrik Maligan Padas yang telah dirancang untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah dan Labuan.
Dalam pada itu, Tiong Sii juga mengesahkan bahawa Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti terma-terma dan syarat dengan syarikat berkaitan dalam proses pengambilalihan kawal selia bekalan elektrik di Sabah.
“Suruhanjaya Tenaga masih berbincang dengan syarikat yang akan terlibat sebelum pengambilalihan kawal selia bekalan elektrik di Sabah dapat dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette