LANGKAWI – Apabila Kementerian Pertahanan memeterai perjanjian pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 “Fighting Eagle” dengan Korea Aerospace Industries (KAI) esok, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pengendali jet pejuang itu akan mendapat varian dengan keupayaan tertinggi, “Block 20”.
Bercakap secara ekslusif menerusi penterjemah kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata, varian FA-50 Block 20 yang akan dibeli Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi jika dibandingkan dengan FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF) dan negara-negara lain.
Buat masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk varian terkini “Fighting Eagles”.
“Pesawat FA-50 Block 20 untuk tentera udara Poland dan Malaysia adalah versi terkini FA-50 dan dengan keupayaan tertinggi. Saya ingin katakan keupayaan pesawat itu untuk Poland dan Malaysia adalah serupa.
Terdapat perbezaan antara FA-50 yang dikendalikan ROKAF dan Block 20 yang dieksport ke Malaysia dan Poland. Perbezaannya ialah versi Korea dikendalikan ROKAF tidak mempunyai radar “Active Electronically Scanned Array” (AESA) tetapi hanya radar konvensional dan juga tidak dilengkapi dengan alat untuk mengenal pasti sasaran (Targeting Pod) dan sistem mengisi minyak.”
“Jadi, kami boleh katakan versi eksport Block 20 adalah yang paling kemas kini, dan versi terkini FA-50 yang telah dinaik taraf,” kata beliau.
Tahun lepas, Poland menandatangani perjanjian dengan KAI untuk membeli 48 FA-50 untuk tentera udaranya.
Selain Malaysia, pengendali varian awal pesawat tempur ringan T-50/FA-50 di Asia Tenggara adalah Thailand, Filipina dan Indonesia.
Diwawancara di luar edisi ke-16 Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) yang bermula semalam, Kang juga mendedahkan sebagai sebahagian daripada Program Kolaborasi Industri (ICP) dengan kerajaan, 14 daripada pesawat FA-50 Block 20 akan menjalani pemasangan peringkat akhir di Malaysia.
Empat lagi pesawat pejuang itu akan dipasang di Korea Selatan, katanya sambil menambah KAI dijangka menghantar secara berperingkat pesawat itu ke Malaysia bermula pada Oktober 2026.
Untuk memulakan projek itu dan memenuhi tempahan Malaysia, gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu akan membeli bahan mentah yang diperlukan dan memperoleh komponen utama yang akan digunakan pada pesawat pejuang versi Malaysia itu.
“Ada peralatan baharu yang kami akan pasang seperti radar, sistem pengisian bahan api dan penggabungan alat untuk mengenal pasti sasaran pada pesawat itu.
Kami akan menempah terlebih dahulu dan melakukan penyelidikan dan pembangunan terkehadapan untuk melakukan penghantaran ke Malaysia pada 2026, “ katanya.
Menurut maklumat yang diperoleh Bernama, varian FA-50 Block 20 TUDM dan Poland akan dilengkapkan dengan keupayaan baharu yang tiada pada varian lain seperti radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat , Raytheon, “probe” untuk pengisian bahan api di udara Cobham dan alat mengenal pasti sasaran termaju “Sniper” dan lain-lain.
Varian terkini FA-50 juga berkeupayaan untuk membawa bom berpandu tepat dan lain-lain senjata canggih. – Bernama