Keratan laporan kes simbah cat asid bagi kegiatan peras ugut terhadap pemilik premis jualan kenderaan baru serta terpakai di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Tiga sekeluarga antara lima lelaki diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kes khianat membabitkan premis kenderaan baharu dan terpakai di sekitar negeri ini.

Penahanan kesemua suspek dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lima suspek berkenaan ditahan antara pukul 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi membabitkan tiga lokasi berasingan sekitar Jalan Patani, Jelutong serta Bayan Baru.

Kata beliau, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 63 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap namun polis percaya mereka mempunyai hutang dan memeras ugut mangsa bagi mendapatkan wang.

Kok Chin (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Suspek utama berusia 36 tahun dikatakan bergerak secara solo bagi kegiatan simbah cecair berkenaan manakala empat suspek lagi turut bersubahat dengan peranan masing-masing.

“Kesemua mereka saling mengenali dan merupakan rakan jenayah. Malah kita masih mengesan baki ahli selain percaya ada individu yang menyokong tindakan ini.

“Kita percaya kegiatan mereka berkait dengan ah long kerana itu suspek bertindak melakukan peras ugut berikutan memerlukan wang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis negeri di IPK Pulau Pinang  hari ini.

Menurut Kok Chin, dalam tempoh kurang tiga hari, pihaknya berjaya menyelesaikan 15 kes peras ugut dan simbah cat asid terhadap premis terbabit yang mana 12 daripadanya di daerah Timur Laut manakala tiga di Barat Daya.

Kok Chin menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pegawai pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Pulau Pinang hari ini.

“Selain itu, saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif daripada pengambilan bahan terlarang manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dilakukan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Kok Chin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang angin di sebuah premis jualan motosikal di Jalan Dato Keramat di sini mempunyai kaitan dengan suspek sama.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, melepaskan tembakan, simbah asid, cat antara ugutan diterima 10 pemilik premis jual kenderaan baru dan terpakai di sekitar daerah Timur Laut sejak awal Mei lalu.

Kesemua perbuatan khianat itu dilakukan semata-mata bagi memeras ugut pemilik premis agar menyerahkan wang berjumlah RM10,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sekiranya mangsa tidak memberikan wang yang diminta selepas melakukan khianat pertama suspek akan mengugut untuk mengulangi perbuatan tersebut.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama telah mengalami kerosakan akibat disimbah cecair atau asid disyaki peluntur cat dalam kejadian itu sekali gus menyebabkan pemilik menanggung kerugian bernilai RM60,000. – MalaysiaGazette