Janet (tengah) didakwa atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM70,000 di Mahkamah Sesyen George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang penyambut tetamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lapan pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM70,000.

Tertuduh, Janet PC Gomes, 38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Khalid Ab Karim.

Wanita itu didapati melakukan kesalahan tersebut ketika dia bekerja sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian di Lebuh Pasar, di sini.

Mengikut pertuduhan Janet yang mempunyai penguasaan ke atas cek milik syarikat gedung pakaian itu dengan curangnya melakukan pecah amanah dengan cara memasukan cek tersebut ke akaun bank orang berbeza dipercayai bagi kepentingan peribadi.

Bekas kerani akaun gedung pakaian itu mengaku tidak bersalah bagi kesemua lapan pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara tahun  2015 hingga 2019 dengan jumlah keseluruhan pecah amanah dilakukan sebanyak RM70,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu V. Parthipan, T. Tamil Salvan dan Shamsher Singh Thind.

Jin Hong mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun kesemua peguam yang mewakili tertuduh meminta jaminan dikurangkan susulan anak guamnya itu kini hanya bekerja dengan pendapatan bulanan RM1,500 selain perlu menjaga suaminya yang menghidap penyakit dimensia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi kesemua lapan pertuduhan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan.

Selain menetapkan syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh harus diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 4 Julai depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette