KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia bukan pihak yang menanggung kos para pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) yang menonton tayangan filem “Anwar: The Untold Story” di pawagam GSC Alamanda baru-baru ini.
Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, para pelajar itu diberi peluang menonton filem berkenaan bagi memastikan anak-anak di sekolah mendapat akses pendemokrasian dan pengenalan kepada figura pemimpin negara.
Sejujurnya, Atiqah berkata, beliau sendiri berasa segan untuk memaklumkan merupakan penyumbung tiket tersebut kerana khuatir dilabel sebagai pembodek dan penjilat.
“Tetapi, yang keruh perlu dijernihkan dan yang kabur perlu dijelaskan.
“Sebagai seorang anak kepada mangsa tahanan politik ISA, saya fikir filem biopik ini mustahak untuk diberikan pendedahan awal kepada setiap segmen generasi.
“Ketika arwah abah dipenjarakan, saya berusia 10 tahun. Dan sejak sejarah reformasi, seluruh jajaran kehidupan keluarga kami berubah. Dan Malaysia juga kini telah sangat dewasa dengan perubahan demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Atiqah menjelaskan, filem berkenaan bukanlah cerita mengenai dirinya sebaliknya ia merupakan kisah jatuh bangun Anwar dalam perjuangannya menentang korupsi.
Ujarnya, layar filem dan penceritaan pastinya tidak mengikut cita rasa setiap penonton bahkan jauh dari kesempurnaan.
Namun katanya, beliau berhak untuk mengajak orang ramai turut sama-sama menonton filem tersebut.
“Tiada paksaan. Tiada merit tambahan kepada pelajar. Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam yang menonton. Tiada surat sokongan yang dikemukakan kepada penyumbang.
“Pemimpin datang dan pergi. Perjuangan melawan korupsi tetap menjadi inti utama membangun Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu hari ini, seorang pengguna Facebook, Ulasan Apek Cina mengulas mengenai surat jemputan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah berkenaan untuk menonton filem itu pada 23 Mei 2023.
Surat yang menggunakan kepala surat sekolah itu ditandatangani oleh Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat.
Ulasan Apek Cina turut mempersoalkan apakah piawai pihak kerajaan (Menteri Pendidikan dan sekolah) memilih untuk menjemput pelajar menonton sesuatu filem.
Adakah disebabkan politik atau pendidikan.
“Kalau satu hari orang buat filem yang puji-puji Najib Razak, adakah Menteri PKR akan konsisten menggunakan sumber kerajaan atau persendirian menjemput pelajar-pelajar untuk menonton?” soalnya. – MalaysiaGazette
Guna duit siapa ajak pelajar tonton filem Anwar The Untold Story?