Anggota Imigresen memeriksa salah seorang wanita yang dipercayai menawarkan aktiviti pelacuran ketika serbuan di sebuah hotel tiga bintang di sekitar Melaka Raya awal pagi tadi.

MELAKA – Seramai 41 warga asing termasuk tujuh pelacur ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam dua operasi berasingan di sini yang berakhir pagi tadi.

Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini, operasi bermula 11 pagi semalam berakhir 2 pagi tadi menyaksikan seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, Bangladesh dan China termasuk dua wanita ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Menurutnya, dalam Ops Mahir itu, semua mereka didapati tinggal di Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen pengenalan ketika serbuan di sebuah kilang kitar semula logam dan plastik di kawasan perindustrian Bukit Rambai.

“Hasil intipan mendapati, kilang tersebut yang bertutup rapat dan dikelilingi pagar zink bagi mengelak aktiviti dihidu pihak penguat kuasa disyaki menggaji pekerja warga asing secara haram.

“Ketika serbuan, kesemua pekerja warga asing panik sebelum lari bertempiaran ke arah kawasan semak sehingga ada yang cedera akibat terpijak pagar zink ketika cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Seramai 39 orang pekerja warga asing telah diperiksa dan 33 daripadanya termasuk dua wanita ditahan dan antara kesalahan dilakukan adalah masuk dan tinggal di Malaysia secara haram selain tiada dokumen pengenalan diri dan lain-lain kesalahan di bawah Akta 155).

“Pemilik kilang juga telah dikeluarkan Saman kepada Saksi (Borang 29) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, Bangladesh dan China termasuk dua wanita ditahan selepas semua mereka didapati tinggal di Malaysia secara haram ketika serbuan di sebuah kilang kitar semula logam dan plastik di kawasan perindustrian Bukit Rambai , semalam.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Ops Gegar, Anirwan berkata, pihaknya berjaya menahan tujuh wanita warga Indonesia dan Thailand di beberapa buah hotel tiga bintang di sekitar Melaka Raya kerana disyaki menawarkan aktiviti pelacuran.

Turut ditahan adalah seorang lelaki warga Thailand kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di bilik-bilik yang didiami oleh wanita warga asing ini, kita percaya mereka menawarkan aktiviti tidak bermoral melalui aplikasi WeChat.

“Sindiket ini mengenakan bayaran antara RM230 hingga RM800 mengikut kepada pakej perkhidmatan yang ditawarkan malah kita turut merampas bungkusan kondom, minyak pelincir dan telefon bimbit bagi tujuan aktiviti tidak bermoral itu,” katanya.

Tambahnya, kesemua 41 warga asing yang ditahan berumur antara 19 hingga 43 tahun dalam kedua-dua serbuan itu kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast