Jegan.

BUKIT MERTAJAM – Seramai lima pemborong utama gula putih di negeri ini dilantik bagi menangani krisis bekalan komoditi itu di peringkat peruncit.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kesemua pemborong itu akan menjadi pengantara bagi KPDN dan peruncit.

Jelas beliau, peruncit yang tidak mempunyai bekalan gula boleh mendapatkannya daripada pemborong berkenaan agar bekalan gula tidak putus di kawasan jualannya.

“Peruncit-peruncit yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan gula perlu menghubungi pejabat KPDN Pulau Pinang bagi memaklumkan lokasi serta dapatkan maklumat daripada kita untuk peroleh bekalan itu daripada pemborong yang dilantik.

“Ini kerana pemborong dilantik hanya akan menjual gula kepada peruncit berdasarkan arahan daripada KPDN negeri sahaja dan pembelian secara walk-in (terus) tidak dibenarkan atas faktor langkah kawalan.

“Berdasarkan pelan pemborong terpilih yang dilancarkan semalam, kita telah membantu lapan peruncit yang menghubungi pejabat untuk mendapatkan bekalan gula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stor Eksibit KPDN di Bukit Minyak di sini, hari ini.

Menurut Jegan, pemborong yang dilantik juga akan mendapat 30 peratus gula tambahan daripada pengilang menerusi pelan tindakan yang dilaksanakan ini.

“Kita harap dengan pelaksanaan ini dapat membantu pengguna mendapatkan gula di kawasan yang terjejas di negeri ini.

“Sehubungan itu, peruncit yang berdepan masalah bekalan boleh menghubungi pejabat KPDN negeri ditalian 04 384 0154/155/158,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Jegan berkata, sejak awal Mei sehingga hari ini, sebanyak 628.4 Metrik Tan (MT) diedarkan di seluruh negeri ini.

“Mengikut pecahan sebanyak 378.2 MT gula diedar bagi daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya (174.7 MT) manakala Seberang Perai Utara (75.5 MT).

“Selain itu, setakat ini kita juga telah menerima tiga aduan mengenai gula dan kesemuanya telah disiasat. Antara aduan yang diterima adalah berkenaan tiada stok dan tiada tanda harga pada gula yang dijual.

“Jadi kita berharap agar pengguna dapat salurkan maklumat sekiranya berlaku gangguan bekalan gula di negeri ini supaya pengedaran dapat diselaraskan kepada kawasan berkenaan dengan kadar segera,” kata Jegan. – MalaysiaGazette