Muhyiddin Yassin. Foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2023.

KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh gabungan itu menerima dana daripada syarikat judi dalam PRU-15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin menyifatkan dakwaan yang dilontarkan perdana menteri dan timbalannya adalah fitnah dan tuduhan berat.

“Apa yang diungkapkan oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri sebelum ini yang menyatakan kami (PN) pada PRU-15 menggunakan wang judi adalah fitnah dan suatu pembohongan.

“Menteri (Azalina) menyatakan tiada satu pun petanda bahawa perkara itu betul.

“Kita akan bincang dengan peguam apa langkah seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat kedua-dua perdana menteri dan timbalannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, katanya, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Sebelum tindakan undang-undang diambil, Muhyiddin menuntut permohonan maaf daripada Anwar dan Ahmad Zahid.

“Yang pertama kita nak tuntut supaya mereka mohon maaf. Ini satu fitnah, satu pertuduhan yang berat. Saya nak tengok apa jawapan mereka,” katanya lagi.

Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dalam satu sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya bebererapa parti datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Ahmad Zahid pula berkata, beliau yakin pihak di ‘belah sana’ seperti mana dinyatakan Anwar dananya pada PRU15 lalu datang dari syarikat perjudian yang terlibat cabutan khas judi. – MalaysiaGazette