KUALA LUMPUR – Sebuah kontena yang membawa daging babi sejuk beku dari Australia bernilai RM180,000 di Pelabuhan Klang Barat, Klang ditahan kerana tidak mematuhi syarat permit import.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, kontena membawa daging seberat 24 tan itu ditahan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pihaknya pada pada Rabu lepas.
“Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan label loji penyembelihan yang diiktiraf pada bungkusan dagangan seperti dinyatakan dalam syarat permit import yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegagalan mematuhi syarat ditetapkan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta sama.
Tegasnya, jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette