Salah sebuah premis hiburan yang diserbu oleh DBKL dan agensi penguatkuasa lain malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 31 individu beragama Islam yang leka meminum arak diberkas oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur malam tadi.

Kesemua individu itu ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu, membabitkan lapan pusat hiburan sekitar Jalan Haji Taib, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

Operasi Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilaksanakan bagi mengenal pasti premis-premis hiburan yang didapati melanggar peraturan, selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Operasi itu turut membabitkan agensi penguatkuasaan lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAWI, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Semua individu beragama Islam ini akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Akta 559),” katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Dalam operasi sama, DBKL turut mengambil tindakan menutup tiga premis hiburan atas kesalahan beroperasi tanpa kebenaran di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“Bahagian Penguatkuasa DBKL juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik/deejay) tanpa kebenaran dan mengeluarkan tiga notis kompaun. – MalaysiaGazette