Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini menjelaskan beliau memilih Pas untuk meneruskan karier politiknya selepas beliau dipecat UMNO.

Annuar yang sebelum ini dipecat daripada UMNO berkata, beliau membuat keputusan untuk menyertai Pas kerana berpendapat parti itu kini adalah parti dominan dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

“Bila ditilik, UMNO bukan lagi sebuah parti yang didokong oleh majoriti rakyat di negara kita, pada PRU13 hingga PRU15 dua juta pengundi UMNO dan BN sudah meninggalkan UMNO.

“UMNO bukan lagi kelompok teras dalam mendokong majoriti sokongan orang Melayu dan Islam, justeru Pas adalah parti yang konsisten dalam memperjuangan nilai-nilai yang dituntut oleh syariah.

“Pas adalah lebih dominan dan tidak mempunyai dasar-dasar perjuangan yang samar, ragu tentang komitmen memperjuangkan Islam,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau masih menunggu kelulusan untuk menyertai Pas.

Malah katanya, tiada sebarang rundingan dan memilih untuk berkhidmat dalam Pas untuk memperjuangkan Islam.

“Saya tawarkan diri tanpa sebarang rundingan, saya pilih untuk berkhidmat dan berikan tenaga dan masa untuk perkasakan Pas,” jelas Annuar.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau redha setelah dipecat oleh UMNO pada Disember tahun lalu.

“Namun untuk perjalanan politik seterusnya saya terpaksa membuat suatu keputusan kerana dibuang maka saya bersara atau memencilkan diri daripada perjuangan politik atau meneruskan perjuangan.

“Akhirnya saya buat keputusan bahawa belum masanya untuk saya bersara daripada politik dan itu memaksa saya untuk mencari landasan politik baru,” katanya.

Bekas pemimpin UMNO Kelantan itu dipecat kerana dipercayai  tindakan beliau mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai UMNO, Annuar berkata, parti itu kini bukan lagi boleh dikategorikan sebagai paerti tunjang kaum Melayu, malah ia hanya parti pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

“UMNO hanya kuasa pelangkap, parti itu bukan memimpin tapi kini ianya dipimpin. UMNO bukan mengawal majiriti tapi hanya satu parti minoriti, maka sudah berbeza sewaktu saya mula-mula memilih UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette