KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan pertama mereka di laman sendiri selepas tewas pada aksi final Masters Malaysia 2023, hari ini.

Gandingan negara bermula sedikit goyah dengan mulanya ketinggalan di belakang pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee 4-6, sebelum keadaan cemas timbul apabila pengadil memberhentikan perlawanan selama empat minit bagi memberi laluan Pearly mendapatkan rawatan akibat kecederaan di betis kirinya ketika Malaysia mendahului 19-16.

Berikutan itu, pasangan Korea Selatan berjaya mencuri kesempatan untuk mengejar mata dan menamatkan saingan set pertama dengan kemenangan 22-20.

Sokongan dan sorakan gemuruh penonton yang memenuhi Axiata Arena hari ini membakar semangat Pearly-Thinaah untuk bangkit menguasai perlawanan kedua dengan 21-8 untuk mengheret kepada perlawanan penentuan.

Ketinggalan 10-16, pasangan negara cuba bangkit untuk mengejar kedudukan namun ternyata kehebatan wakil Korea Selatan itu lebih terserlah untuk menamatkan set penentuan dengan kemenangan 21-17 dalam saingan sepanjang satu jam 41 minit.

Ketika ditemui selepas aksi final, Pearly berkata, beliau kecewa kerana tidak memenangi set pertama dan mengakui tahap kecerdasan yang kurang menjadi faktor utama menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara di kejohanan Super 500 pertama mereka.

Beliau juga mengakui, mereka mula hilang fokus pada set penentuan selepas Ha Na-So Hee mendahului mata sebelum waktu rehat dan Pearly hampir muntah sebelum tamat aksi final kerana terlalu keletihan.

“Sudah tentu tahun ini banyak naik turun, ia satu permulaan yang baik untuk kami tapi kami belum puas dan berharap boleh jadi lebih baik.

“Kita perlu lakukan analisis dan kembali lebih kuat selepas ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sejak awal tahun ini, Masters Malaysia 2023 merupakan pencapaian terbaik gandingan Pearly-Thinaah selepas hanya tiga kali mara ke separuh akhir bermula dengan Terbuka India dan Masters Indonesia (Januari) serta Terbuka Jerman (Mac).

Kali terakhir beregu wanita meraih kejuaraan pada Masters Malaysia adalah pada edisi 2012 menerusi Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang menewaskan lawan dari Singapura Shinta Mulia Sari-Yao Leo 21-18, 21-18 pada aksi final.

Pasangan di ranking ke-11 dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai US$15,960 selaku naib juara manakala selaku juara, Ha Na-See Hoo memperolehi US$33,180 berserta trofi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast