KUALA LUMPUR – Umat Islam berpeluang menyemak arah kiblat di tempat masing-masing berikutan fenomena Istiwa A’dzam atau kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah yang akan berlaku jam 5.18 petang ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memaklumkan perkara itu menasihati umat Islam agar menyemak ketepatan arah kiblat sedia ada kerana peluang itu hamya muncul dua tahun sekali.
“Fenomena Istiwa A’dzam akan berlaku pada 28 Mei 2023, Ahad bersamaan 8 Zulkaedah 1443H – 5:18 PM (waktu Malaysia).
“Istiwa A’dzam ialah kedudukan Matahari tepat berada di atas Kaabah. Fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun.
“Oleh itu, seluruh umat Islam di Malaysia berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing,” katanya Jakim yang dimuatkan di akaun rasmi Facebook, hari ini.
Jakim juga menasihatkan umat Islam menyediakan beberapa peralatan asas untuk membuat semakan arah kiblat dengan menggunakan kayu lurus, masking tape dan pen marker.
“Kayu lurus itu boleh diletakkan secara tegak (90 darjah) di kawasan yang ada sinaran matahari (ada bayang-bayang), pastikan hari tidak mendung atau hujan.
“Gunakan pen marker untuk tulis atau tandakan arah kiblat pada jam ditentukan, lekatkan masking tape lurus mengikut bayang-bayang kayu tersebut.
“Bayang-bayang adalah ke arah timur, maka kiblat adalah yang di arah bertentangan dan selesai tanda arah kiblat yang tepat,” katanya.
Jakim juga memberitahu, umat Islam juga boleh merujuk kepada infografik yang disediakan Sirim pada waktu fenomena itu berlaku atau melayari laman sesawang https://mst.sirim.my.
“Setelah siap tanda arah kiblat, bolehlah kita semak ketepatan Apps Arah Kiblat di telefon pintar (tertakluk juga keadaan fungsi GPS di peranti).
“Jika terdapat perbezaan kiblat di masjid atau surau, sila rujuk Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri untuk maklumat lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette