Kok Chin (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kegiatan seorang bekas banduan menjadikan kediaman sewa keluarganya sebagai makmal memproses dadah heroin terbongkar selepas dia ditahan di hadapan rumah berkenaan di Seberang Jaya pada Khamis lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Pulau Pinang dan BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah teres dua tingkat yang didiami suspek bersama kakak serta abang iparnya berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) itu membawa kepada penemuan beberapa peralatan memproses dadah.

Jelas beliau, berpandukan maklumat daripada suspek, pihak polis turut menemui 7.4 kilogram heroin bernilai RM61,420 dalam sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang diparkir kira-kira 600 meter dari kediaman mereka.

Kok Chin (tengah) bercakap dengan pemberita pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Hasil siasatan mendapati keluarga suspek mengetahui kegiatannya memandangkan peralatan memproses dadah ditemui dalam kediaman sama.

“Suspek yang aktif dalam pengedaran dadah itu sejak awal tahun juga dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut sebuah kereta Honda Accord serta wang tunai RM5,050. Secara keseluruhan nilai sitaan dan rampasan dadah berjumlah RM86,470,” katanya pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Tambah Kok Chin, semakan pihaknya mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan baru setahun dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara sejak 2017.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga pengganggur itu positif dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Jun depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Begitulah perumpamaan mengatakan kalau manusia berperangai seperti ANJING yg dah biasa makan najis, tak makan pun dia tetap menghidunya juga. Kalau dah terbukti dgn kesalahan memproses, mengedar kenapa setakat tindakan batuk di tangga saja.. kata undang undang anti dadah Malaysia sangat ketat.

Comments are closed.