Juruterbang pesawat membuat persembahan pada hari kedua Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) di Langkawi. FOTO Pejabat Perdana Menteri/SADIQ ASYRAF, 24 MEI 2023.

PAMERAN Aeorangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) secara rasmi melabuhkan tirainya pada Sabtu selepas lima hari berlangsung bermula 23 Mei. Bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’, LIMA’23 menjadikan Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila ‘berkumpul’ pelbagi jenis aset pertahanan, aeroangkasa dan maritim yang berteknologi tinggi dan terkini.

Memasuki edisi ke-16 dianjurkan sejak kali pertama diadakan pada 1991, LIMA’23 berjaya meletakkan penanda aras baru kepada kemampuan negara menganjurkan pameran bertaraf antarabangsa. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan pemain industri dan negara luar untuk menyertai sesebuah pameran, tetapi jenama dan prestij LIMA yang dianjurkan Malaysia telah membuktikannya.

Memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di hati terakhir LIMA, pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani dengan RM10.1 bilion dalam 43 kontrak berkaitan pertahanan. Malah beliau turut menyatakan terdapat keperluan untuk Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menempatkan pameran aeroangkasa dan maritim diperbesarkan sebagai persediaan pengajuran LIMA pada tahun 2025.

Diiktiraf sebagai pameran aeroangkasa dan maritim terkemuka di rantau Asia Pasifik, sememangnya LIMA edisi kali ini dianggap pameran yang terbesar dan paling berjaya dalam sejarah penganjurannya. LIMA’23 berjaya membawa 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia berkampung di Langkawi. Selain itu, hebat dan gah juga kerana kemampuan ‘menarik’ 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.

Kehadiran lima buah negara untuk memperagakan aksi aerobatik di segmen pertunjukan udara juga menjadi antara tarikan utama di LIMA’23. Ia membabitkan pertunjukan daripada ‘Russian Knights’ dengan pesawat Sukhoi SU-30SM; ‘Black Eagle’ dari Korea dengan pesawat KAI-T50B; ‘Jupiter’, Indonesia dengan pesawat KT-1B Woong Bee; ‘Al-Fursan’ (Emiriah Arab Bersatu, Aermacchi MB339A) dan ‘August 1st’ (China, Chengdu J-10). Turut beraksi dalam pertunjukan udara adalah aset negara kita sendiri iaitu pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti SU30-MKM dan F/A-18D yang turut mendapat tumpuan.

Jika melihat hantaran di media sosial, pengungjung begitu teruja berkongsi video aksi lincah aerobatik jet pejuang di udara. Deruman enjin pesawat ini pastinya menimbulkan kegerunan tetapi rasa keterujaan itu melebihi segalanya. Menonton pelbagai aksi formasi penerbangan bersama ngauman bingit jet membelah langit biru, penonton membayangkan ia persis babak di dalam filem Top Gun lakonan Tom Cruise.

Pujian dan tepukan tahniah selayaknya diberikan kepada dua kementerian yang bekerja keras membawa kembali LIMA selepas empat tahun ‘berehat’ selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019. Merupakan acara dwitahunan, penganjurannya pada 2021 ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 dan tahun ini, kolaborasi Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa) berjaya membawa kembali LIMA dengan lebih gah dan hebat.

Sebagai sebuah acara yang unik dan berbeza dengan penganjuran lain kerana masih menjadi satu-satunya pameran yang menggabungkan industri aeroangkasa dan maritim duduk sebumbung, penganjuran LIMA’23 memberi impak yang amat besar kepada negara.  Kesan terbesar pastinya kepada pembangunan industri aeroangkasa negara yang menunjukkan kesan yang signifikan, misalnya pada tahun 2021 industri ini sudah bernilai kira-kira RM1.375 dengan sektor marin mula merekodkan nilai hampir RM800 bilion pada tahun yang sama. Justeru tidak menghairankan Malaysia mempunyai sumbangan dan peranan yang penting terhadap pertumbuhan industri aeroangkasa dan marin di peringkat global kerana kedua-dua sektor ini menyumbang lebih RM2 trilion.

Bukan sahaja memberi peluang kepada merancakkan dan memperkukuh hab sektor aeroangkasa dan maritim, penganjuran pameran berskala besar seperti ini sebenarnya turut memberi kesan limpah kepada sektor pelancongan dan ekonomi domestik negara. Misalnya Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganggarkan kemasukan 300,000 pelancong sempena LIMA. Malahan ia juga ibarat rezeki terpijak buat agensi pelancongan tempatan kerana melalui pameran beprestij seperti ini, mereka berpeluang menjual pelbagi pakej pelancongan dalam negara kepada pengunjung dalam dan luar serta membuka peluang untuk mencari rakan strategik dari luar negara.

Dari pengamatan penulis, sememangnya pengajuran LIMA’23 kali ini cukup luar biasa dari segi sambutan daripada para pengunjung, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan lain. Penulis juga melihat LIMA tidak sekadar hanya sebuah pameran yang mempamerkan jet pejuang, kapal perang, senjata dan pelbagai lagi aset dan teknologi aeroangkasa dan maritim sahaja, LIMA hakikatnya telah menjadi suatu jenama besar ‘produk’ Malaysia yang telah membawa nama negara lebih dikenali, dihormati dan disegani negara dunia. TAMAT

 

Penulis adalah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast