Sergio Rico. Foto The Mirror.

LONDON – Penjaga gol simpanan Paris Saint-Germain (PSG), Sergio Rico disahkan mengalami kecederaan serius selepas terbabit dengan kemalangan ketika menunggang kuda, umum kelab itu hari ini.

“Dia berada dalam keadaan yang serius,” kata jurucakap PSG.

Sementara itu, akhbar Sepanyol, Marca melaporkan Rico kini berada dalam keadaan stabil.

Sejurus kemalangan, dia diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Seville’s Virgen del Rocio dengan dia diberikan bantuan pernafasan, menurut saluran televisyen Canal Sur yang memetik sumber daripada pihak hospital.

“Terus kuat dan semoga cepat sembuh,” tulis Sevilla yang menjadi kelab dia beraksi sebelum ini di laman Twitter mereka.

Rico yang dilahirkan di Sevilla memenangi dua gelaran Liga Europa dengan pasukan tempat kelahirannya itu sebelum dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Fulham pada 2019.

Penjaga gol itu kemudiannya berpindah ke PSG secara pinjaman pada 2019 sebelum memuktamadkan perpindahan secara tetap setahun kemudian.

Rico dipinjamkan daripada kelab Perancis itu ke Mallorca pada 2022 sebelum kembali ke PSG untuk kempen musim ini.

Dia membuat 24 penampilan buat PSG dan mempunyai satu kap bersama skuad kebangsaan Sepanyol. – MalaysiaGazette