Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda
Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, pelantikan itu berkuatkuasa 1 Jun depan.

“Lembaga pengarah dan warga PNB berbesar hati mengalu-alukan Raja Tan Sri Arshad ke Lembaga Pengarah PNB membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.

“Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Arshad adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd, Icon Offshore Bhd dan Bumi Armada Bhd.

Beliau juga adalah bekas pengarah Maxis Bhd dan Khazanah Nasional Bhd dan juga bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.

Semasa krisis kewangan Asia 1997, beliau dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Bhd, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Raja Arshad pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC.

Beliau telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti semasa ia mula-mula ditubuhkan.

Beliau juga pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC. – MalaysiaGazette