Antara barang rampasan kontraban yang dilupuskan oleh pihak polis ketika di Balai Polis Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2023.

KLANG – Polis melupuskan sebanyak 6,289 barang kes melibatkan jenayah perjudian, kontraban dan bitcoin yang bernilai kira-kira RM500,000 yang dirampas sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, pelupusan itu melibatkan barang kes yang dirampas sejak 2017 hingga Januari 2023 membabitkan 422 kertas siasatan.

“Pelupusan ini melibatkan barang kes perjudian, kontraban, bitcoin, barang am dan barang berharga.

“Tempoh pelupusan barang kes ini dari 2017 hingga 2023. Jumlah keseluruhan 6,289 barang kes yang bernilai lebih kurang RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Superintendan Mohd Khairi Shafie (kiri) bersama Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Klang, Mohd Hirman Abd Raub memusnahkan barang perjudian yang berjaya dirampas oleh pihak polis ketika di Balai Polis Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2023.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Klang, Mohd Hirman Abd Raub hadir ke Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Kapar, di sini.

Mohd Khairi berkata, antara yang dilupuskan ialah barang kes perjudian sebanyak 788 item, barang kes kontraban (4,645), barang kes am (856), barang kes bitcoin (57) dan wang tunai berjumlah RM49,086.

“Barang kes mesin mining Bitcoin dilupuskan dengan cara menghancurkan mesin-mesin secara manual.

“Barang kes minuman keras dan cecair akan diasingkan secara kimia dan dilupuskan secera pemeruapan, manakala botol dan tin akan dikitar semula.

“Manakala bagi barang kes rokok kesemua rokok akan dibakar di dalam kebuk pembakaran,” katanya.

Minuman alkohol antara barang rampasan yang dilupuskan oleh pihak polis di Balai Polis Kapar, Klang hari ini. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2023.

Menurutnya, proses pelupusan itu dilakukan oleh syarikat Pandamaran Jaya Motor yang beroperasi di Pelabuhan Klang.

“Syarikat ini telah menerima pensijilan sisa pepejal negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melakukan pelupusan bagi aset-aset kerajaan.

“Pelupusan ini dilakukan selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (AKTA 672),” katanya lagi. – MalaysiaGazette