Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

ALOR GAJAH – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan tapisan kontraktor yang terlibat dengan pembinaan fasiliti kesihatan di seluruh negara bagi mengelakkan ia terus menjadi projek ‘sakit’ pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia susulan 24 daripada 166 projek pembinaan kemudahan kesihatan di seluruh negara mengalami kelewatan kerana kontraktor yang tiada pengalaman dalam pembinaan projek itu.

“…daripada 24 kontraktor yang melaksanakan projek ‘sakit’ itu, 22 dikesan tidak berpengalaman dalam pembinaan sedemikian, justeru langkah diambil JKR adalah membuat tapisan kontraktor selepas ini.

“Sebab itu kita adakan kursus, buat penapisan (supaya) kita tak ada rasa bimbang atas perkara yang kita laksanakan. Kalau kita ambil 200 kontraktor, kita saring dan sebagai contoh, hanya 35 kontraktor yang layak lepas saringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di Simpang Ampat di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tindakan itu bukan untuk menafikan keupayaan kontraktor yang dipilih itu kerana pernah terlibat dengan projek pembangunan lain, selain fasiliti kesihatan seperti pembinaan sekolah dan jalan raya.

“Namun projek pembinaan fasiliti kesihatan mempunyai banyak perbezaan berbanding pembangunan lain.

“Sebab itu kursus kompetensi ini diadakan agar kontraktor yang mahu terlibat dengan pembinaan fasiliti kesihatan mendapat pengetahuan secukupnya sebelum terlibat dalam pembidaan tender projek berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette.